Auto Added by WPeMatico

BEREGU wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah bertekad untuk segera melupakan kekecewaan terkandas di separuh akhir Terbuka Hong Kong bagi menghadapi cabaran seterusnya di Terbuka China, minggu depan.
Misi gandingan No. 2 dunia itu untuk mempertahankan gelaran di Hong Kong tidak kesampaian selepas tumpas kepada gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam aksi separuh akhir kelmarin.
Mengakui faktor mental menjadi salah satu punca kekalahan, Pearly berkata, mereka terlalu tergesa-gesa dan hilang fokus terutamanya selepas mendahului yang akhirnya membawa kepada kesilapan mudah.
“Saya rasa dari segi mental, kami agak tergesa-gesa. Kerana apabila kami sedang mendahului, kami mahu mendapatkan lebih banyak mata, tetapi kami terlupa tentang cara permainan sendiri. Pada masa itu, fokus kami semakin menurun dan kami melakukan banyak kesilapan mudah serta mula mengikut rentak mereka,” jelas Pearly.
Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu enggan terus dibayangi kekecewaan dan kini mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan menjelang Terbuka China, yang juga berstatus Super 500.
“Buat masa ini, kami perlukan rehat yang secukupnya untuk beberapa hari dan kemudian teruskan latihan. Kami akan bincangkan tentang perlawanan hari ini dan bersedia untuk minggu depan,” tambah Pearly.
Meskipun tewas, Thinaah tetap menzahirkan penghargaan kepada sokongan padu yang diterima di Hong Kong, menyifatkannya sebagai gelanggang istimewa yang memberikan kenangan indah.
Pearly-Thinaah dijadualkan memulakan kempen Terbuka China dengan menentang beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari di pusingan pertama.
The post Beregu sensasi tekan butang ‘reset’ appeared first on Kosmo Digital.