Auto Added by WPeMatico

GARAM bukan sahaja berfungsi sebagai perasa masakan malah memainkan peranan penting dalam diet harian. Tubuh memerlukan sodium untuk membantu fungsi saraf, otot serta mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan. Namun pengambilannya perlu dikawal.
Menurut WebMD, tubuh manusia hanya memerlukan kira-kira 1,500 miligram sodium sehari. Namun secara purata, rakyat Amerika mengambil sekitar 3,400 miligram sehari iaitu lebih dua kali ganda jumlah yang disarankan.
Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko strok, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.
Persoalannya, bagaimana untuk mengetahui jika tubuh sedang ‘overdose’ garam?
-
Sentiasa berasa sangat dahaga
Jika anda sering berasa sangat dahaga, ia mungkin petanda tubuh menerima terlalu banyak sodium.
Keadaan ini berlaku apabila badan memerlukan lebih banyak air untuk mencairkan lebihan sodium dalam aliran darah. Walaupun peningkatan sodium hanya sedikit, ia sudah cukup untuk mencetuskan rasa haus.
Sebab itu ramai orang berasa sangat dahaga selepas makan makanan luar atau makanan segera kerana biasanya mengandungi garam yang tinggi.
-
Kembung atau bloated
Kembung merupakan antara tanda paling biasa seseorang mengambil terlalu banyak garam.
Apabila sodium meningkat, badan akan menyimpan lebih banyak air bagi mengekalkan keseimbangan mineral. Keadaan ini meningkatkan jumlah cecair dalam badan dan menyebabkan perut terasa kembung.
Selain itu, ada juga yang menyedari wajah kelihatan lebih sembap daripada biasa.
-
Bahagian badan kelihatan bengkak
Pengambilan garam berlebihan juga boleh menyebabkan bengkak pada beberapa bahagian badan.
Antara bahagian yang sering terjejas ialah wajah, tangan, kaki dan buku lali. Keadaan ini berlaku kerana tubuh menahan air untuk mengekalkan keseimbangan sodium dalam badan.
Jika anda mendapati badan kelihatan lebih bengkak daripada biasa, mungkin sudah tiba masanya untuk menilai semula pengambilan garam harian.
-
Tekanan darah meningkat
Tekanan darah tinggi boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor tetapi pengambilan sodium berlebihan juga merupakan salah satu puncanya.
Apabila terlalu banyak garam diambil, buah pinggang menjadi lebih sukar menyingkirkan lebihan cecair dalam badan. Akibatnya, cecair terkumpul dan menyebabkan tekanan darah meningkat.
Jika keadaan ini berterusan, ia boleh meningkatkan risiko penyakit jantung serta strok.
-
Lebih kerap membuang air kecil
Jika anda mendapati diri lebih kerap ke tandas untuk membuang air kecil, ia boleh berkait dengan pengambilan garam tinggi.
Satu kajian melibatkan lebih 300 sukarelawan oleh penyelidik dari Nagasaki University mendapati bahawa pengurangan pengambilan garam membantu mengurangkan kekerapan membuang air kecil.
Laporan lain turut menunjukkan pengurangan garam dalam diet harian boleh membantu mengurangkan keinginan membuang air kecil secara kerap iaitu antara gejala pundi kencing terlalu aktif.
-
Mudah berasa letih dan lesu
Pengambilan garam berlebihan juga boleh membuatkan seseorang cepat berasa letih dan tidak bertenaga.
Keadaan kembung akibat penahanan air dalam badan boleh menyebabkan rasa tidak selesa. Pada masa sama, tubuh perlu bekerja lebih keras untuk mengimbangi cecair dan menyingkirkan lebihan sodium, sekali gus menyebabkan badan terasa lesu.
-
Berat badan meningkat secara tiba-tiba
Pengambilan garam berlebihan juga boleh menyebabkan kenaikan berat badan dalam masa singkat.
Apabila badan menahan air (water retention), berat badan boleh meningkat dengan cepat dalam tempoh beberapa hari atau seminggu.
Jika berat badan meningkat lebih daripada kira-kira 1 kilogram dalam sehari atau 2 hingga 3 kilogram dalam tempoh seminggu, keadaan itu mungkin berkait dengan pengambilan garam berlebihan.
Menilai semula jenis makanan yang dimakan dalam beberapa hari sebelumnya boleh membantu mengenal pasti puncanya. – RELEVAN
The post Petanda badan ‘overdose’ garam appeared first on Relevan.
