Auto Added by WPeMatico

![]()
JAKARTA – Penduduk wilayah Aceh di Indonesia mengibarkan bendera putih sebagai isyarat bahawa mereka tidak lagi mampu menanggung keadaan pasca banjir, tiga minggu selepas Taufan Senyar melanda tiga wilayah di pulau Sumatera, lapor saluran berita Channel News Asia (CNA) kelmarin.
Mangsa-mangsa terselamat turut menghadapi masalah kesihatan seperti demam, tifoid dan penyakit kulit, manakala bantuan pemerintah sukar sampai ke beberapa kawasan pedalaman ketika makanan semakin berkurang dan bekalan elektrik belum dipulihkan.
Ini menyebabkan penduduk mengibarkan bendera putih di hadapan rumah di kampung-kampung, sepanjang lebuh raya nasional dan di pos-pos kecemasan serta pusat pemindahan.
Menurut laporan media tempatan, pejabat-pejabat pihak berkuasa tempatan juga mengibarkan bendera putih sebagai bantahan terhadap apa yang disifatkan penduduk sebagai tindak balas perlahan pemerintah pusat terhadap bencana itu.
Indonesia turut menolak tawaran bantuan antarabangsa dengan menyatakan bahawa ia mampu mengendalikan operasi kecemasan sendiri.
“Ramai penduduk dan sukarelawan mengibarkan bendera putih kerana mereka tidak lagi mampu bertahan dengan keadaan yang semakin teruk,” kata seorang penduduk Banda Aceh, Rahmiana, yang kini menjalankan misi kemanusiaan.
Pada 25 November lalu, lebih 1,000 orang di Pulau Sumatera terkorban akibat Taufan Senyar yang melanda tiga wilayah iaitu Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.
Banjir akibat taufan itu telah memusnahkan ribuan rumah dan melemahkan ekonomi tempatan, dengan pegawai kanan pemerintah menyatakan bahawa kos pembinaan semula di seluruh kawasan terjejas di Sumatera dijangka menelan sekurang-kurangnya AS$3.11 bilion (RM12.7 bilion).
Aceh mencatatkan jumlah korban tertinggi dengan 431 orang disahkan maut dan 32 lagi masih hilang.
Menurut laporan akhbar Jakarta Globe kelmarin, Sumatera Utara mencatatkan 355 kematian dengan 84 orang tidak dapat dikesan, manakala Sumatera Barat melaporkan 244 kematian serta 90 lagi hilang.
Kira-kira 7,000 orang cedera dan hampir 186,500 rumah rosak atau musnah.
Mangsa-mangsa kini bergelut dengan kelaparan, kekurangan bekalan yang teruk dan ketidakpastian bila bantuan mencukupi akan tiba.
Sementara itu, di Aceh Timur, bendera putih memenuhi jalan-jalan sehingga ke daerah Aceh Tamiang.
Menurut akhbar Kompas, bendera juga dipacak di sepanjang lebuh raya nasional yang menghubungkan ibu kota, Banda Aceh ke Medan di Sumatera Utara.
“Rakyat sudah putus asa dan memerlukan bantuan. Kami tidak lagi mampu bertahan,” kata seorang penduduk kampung Alue Nimbong di Aceh Timur, Bahtiar yang dipetik oleh akhbar tersebut.
Beliau berkata, sudah tiga minggu berlalu sejak banjir melanda, tetapi bantuan yang sampai ke komuniti yang terjejas masih sangat terhad.
Penduduk tempatan telah menubuhkan dapur komuniti bebas dan berkongsi sedikit makanan, tetapi bekalan semakin berkurangan serta ramai yang berlapar, demikian menurut laporan media tempatan.
“Bendera-bendera ini dikibarkan sebagai tanda darurat untuk memohon komuniti antarabangsa membantu Aceh. Pemimpin-pemimpin asing telah menawarkan bantuan tetapi Presiden Prabowo Subianto pada Isnin lalu menyatakan situasi masih terkawal,” kata Bahtiar. – AGENSI
The post Mangsa banjir Aceh kibar bendera putih appeared first on Kosmo Digital.