Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor membentangkan Belanjawan Selangor 2026 berjumlah RM3.23 bilion yang meningkat sebanyak RM230 juta berbanding RM3 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah tersebut RM1.86 bilion atau 57.6 peratus bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.37 bilion atau 42.4 peratus perbelanjaan pembangunan.
Menurutnya, Belanjawan Selangor 2026 yang bertemakan Selangor Juara, Rakyat Sejahtera Belanjawan Selangor 2026 akan menjayakan enam tekad merangkumi Sumber Hasil Negeri, Peluang Ekonomi Rakyat; Reformasi Tadbir Urus Memartabatkan Bangsa; Mencorak Pendidikan Melakar Masa Depan; Keunggulan Seni Budaya dan Kemantapan Generasi Muda; Selangor Negeri Penyayang dan Kelestarian Alam Sekitar dan Kebitaraan Infrastruktur.
“Bagi tahun 2026, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.8 bilion dengan penyumbang utama adalah Premium Tanah sebanyak RM1.02 bilion atau 36.3 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.
“Penyumbang kedua terbesar adalah hasil Cukai Tanah iaitu sebanyak RM691.27 juta bersamaan 24.7 peratus, manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM263.16 juta bersamaan 9.4 peratus.
“Dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri yang berjumlah RM2.8 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM3.23 bilion, maka Belanjawan 2026 mengalami defisit dianggarkan berjumlah RM430 juta,” katanya pembentangan di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Jelas beliau, unjuran defisit berjumlah RM430 juta bagi tahun Belanjawan 2026 akan dibiayai sepenuhnya melalui baki Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM1.608 billion. – KOSMO!ONLINE
The post Selangor bentang Belanjawan RM3.23 bilion untuk 2026 appeared first on Kosmo Digital.