Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) melantik kumpulan pertama warden sepenuh masa dari kalangan bekas anggota polis dan tentera untuk bertugas di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula Isnin ini.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kumpulan tersebut akan memulakan tugas di dua lokasi iaitu MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang, sebagai langkah proaktif menangani isu buli serta salah laku disiplin pelajar.
“Ini merupakan inisiatif terbaru Mara untuk memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang disamping menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat dan sejahtera buat semua pelajar sebagaimana yang pernah saya sebut beberapa bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua warden yang dipilih telah melalui proses saringan ketat termasuk sesi temu ramah komprehensif bagi memastikan mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan Mara.
Dalam amanatnya kepada warden berkenaan, Asyraf Wajdi menegaskan peranan mereka bukan sekadar menjaga rutin harian pelajar, sebaliknya menjadi pendidik yang membentuk tertib, adab, disiplin serta nilai tanggungjawab.
“Asrama MRSM adalah ‘rumah kedua’ anak-anak MRSM. Di sinilah mereka belajar tentang tertib dan adab hidup bermasyarakat, tentang mengurus masa, tentang amanah dan tanggungjawab.
“Tiada toleransi terhadap salah laku, namun pendekatannya mendidik, memulih dan adil,” katanya.
Beliau berharap pelaksanaan ini dapat menjadikan MRSM sebagai model sekolah berasrama yang selamat, beradab, berdisiplin dan membahagiakan di peringkat nasional. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas polis, tentera mula tugas warden MRSM Isnin depan appeared first on Kosmo Digital.