Auto Added by WPeMatico

MUAR – Keghairahan 10 transporter meraih upah lumayan sehingga RM15,000 sebulan dengan menghantar bekalan dadah dari utara tanah air ke negara jiran tidak berpanjangan apabila diberkas dalam Op Larch, dua minggu lalu.
Kesemua suspek berusia 29 hingga 70 tahun itu diberkas bersama-sama 61 kilogram (kg) dadah bernilai RM2 juta dalam serbuan berasingan di sekitar Johor dan Lembah Klang pada 21 serta 22 Julai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis berjaya mengesan pergerakan suspek pertama di Parit Jawa.
Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Toyota Lexus dipandu suspek telah menemui 51kg dadah jenis methamphetamine yang dibungkus dalam bungkusan warna hijau, biru dan merah.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah dan sekitar kawasan Parit Jawa membawa kepada penahanan suspek kedua dan ketiga yang merupakan pasangan suami isteri.
“Serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah di sekitar Tanjung Labuh, Batu Pahat dan suspek keempat yang dipercayai ketua sindiket warga tempatan berjaya diberkas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, hari ini.

Ujarnya, lima suspek yang lain termasuk seorang warga asing diberkas dalam serbuan di sekitar Jalan Parit Bakar dan tangkapan seterusnya dibuat di Jalan Bukit Segar, Cheras, Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan di dalam rumah suspek ke-10 menjumpai 17 paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah methamphetamine dan 105 biji pil ekstasi disyaki untuk pasaran kelab malam.
“Kesemua suspek mengaku menerima upah antara RM3,000 hingga RM15,000 sebulan dengan menjadi transporter menghantar bekalan ke Indonesia menggunakan bot menerusi laluan Selat Johor dan Selat Melaka sejak Oktober tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, pihak polis turut menyita tujuh kenderaan mewah termasuk Mercedes Benz GLC, Toyota Alphard, barang kemas, jam tangan, beg tangan dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM752,655.
Hussein berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE
The post Rebut upah RM15,000, 10 transporter ‘sangkut’ bawa 61kg dadah appeared first on Kosmo Digital.