Auto Added by WPeMatico

BALING – Penderitaan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun akibat dirogol bapa tiri dan abang kandung sendiri berakhir apabila kedua-dua lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kedua-dua tertuduh yang berusia 49 dan 17 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan rogol terhadap mereka itu dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu didakwa merogol anak tirinya di sebuah rumah di sini kira-kira pukul 4 petang, 24 Jun lalu. Sementara, seorang lagi tertuduh yang merupakan abang kandung mangsa dituduh melakukan kesalahan sama kira-kira pukul 10 pagi, 15 Jun lalu.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 10 Ogos depan bagi serahan laporan perubatan mangsa bagi kes dihadapi bapa tiri kepada remaja wanita terbabit serta dibenarkan diikat jamin sebanyak RM30,000.
Sementara bagi pertuduhan dihadapi abang kandung mangsa, mahkamah menetapkan 30 Oktober depan untuk laporan akhlak tertuduh dengan dia dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000.
Pada prosiding sama, bapa tiri mangsa dihukum penjara 15 bulan bermula dari tarikh tangkap selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan lucah berupa gambar dan video dalam telefon bimbit di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada pukul 3.40 petang, 27 Jun lalu.
Sementara itu, ibu kandung mangsa berusia 45 tahun didenda RM2,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal melaporkan jenayah seksual terhadap anaknya kepada pihak polis.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah menengah di Jalan Baling di sini pada pukul 10 pagi, 24 Julai tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Bapa tiri, abang kandung mengaku noda remaja 15 tahun appeared first on Kosmo Digital.