Auto Added by WPeMatico

JAKARTA – Sekurang-kurangnya 20 orang hilang selepas bantahan ganas tercetus di Indonesia kerana membantah kenaikan elaun dan kemewahan ahli parlimen yang turut melibatkan kemarahan orang ramai terhadap polis, kata sebuah kumpulan hak asasi hari ini.
Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh sejak bantahan meletus minggu lalu. Demonstrasi di Jakarta itu bertukar ganas selepas rakaman video seorang penunggang teksi motosikal maut dilanggar kenderaan perisai polis tular.
“Berdasarkan laporan awam dihantar kepada KontraS setakat semalam, terdapat 23 laporan orang hilang. Selepas proses pencarian dan pengesahan dilakukan, 20 individu masih belum ditemui,” kata Suruhanjaya untuk Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS) dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu berkata, 20 orang itu dilaporkan hilang di kota Bandung, Depok di samping bandar pentadbiran Jakarta Pusat, Jakarta Timur dan Jakarta Utara yang membentuk ibu kota Jakarta lebih luas, dengan satu insiden berlaku di ‘lokasi yang tidak diketahui’.
Semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyeru siasatan terhadap dakwaan penggunaan kekerasan yang melampau terhadap penunjuk perasaan.
Kekacauan yang berlaku di bandar-bandar di seluruh negara memaksa Presiden Prabowo Subianto membuat pusingan U mengenai kemewahan ahli parlimen.
Demonstrasi yang berlaku juga adalah yang terburuk sejak Prabowo mengambil alih kuasa 10 bulan lalu. – AFP
The post 20 orang hilang selepas bantahan di Indonesia appeared first on Kosmo Digital.