Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Seramai 490 ibu tunggal di negara ini diisytiharkan muflis selepas gagal melunaskan pelbagai komitmen pinjaman termasuk pinjaman peribadi, perumahan, perniagaan dan penggunaan kad kredit.
Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) Datuk Ishak Bakri berkata, kegagalan mengurus komitmen hutang selain tekanan kos sara hidup menjadi antara punca golongan tersebut terjerumus ke dalam status bankrap.
Menurutnya, bagi membantu golongan terbabit, kerajaan memperkenalkan Dasar Peluang Kedua (DPK) 3.0 – Pelepasan ‘Fast Track’ yang membolehkan individu muflis keluar daripada kebankrapan dalam tempoh lebih singkat.
“Oleh sebab itu, kerajaan memperkenalkan DPK 3.0 bagi membantu golongan ini mendapatkan pelepasan bankrap dengan lebih cepat sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.
“Sejak permohonan untuk DPK 3.0 dibuka pada tahun ini, seramai 169 individu telah mengemukakan permohonan. Permohonan paling tinggi adalah daripada ibu tunggal, namun saya tidak mempunyai data khusus jumlahnya,” katanya kepada Kosmo!.
Ishak menjelaskan, menerusi DPK 3.0, individu muflis boleh dilepaskan daripada status kebankrapan seawal 36 hari dari tarikh permohonan sekiranya semua dokumen lengkap serta tidak melakukan kesalahan di bawah Akta Kebankrapan 1967.
Tambahnya, MDI kini giat mempromosikan program tersebut bagi memastikan lebih ramai individu layak mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.
“Kami akan menjelajah ke seluruh negara dan menyantuni seramai mungkin ibu tunggal untuk memberikan penerangan mengenai DPK 3.0. Malah, MDI juga akan menghubungi secara terus ibu tunggal yang layak bagi membantu mereka memohon pelepasan muflis melalui program ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post 490 ibu tunggal bankrap angkara pinjaman appeared first on Kosmo Digital.
