Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas ditemui mati dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya di sebuah pangsapuri di Bandar Permaisuri, Cheras, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 3.01 pagi itu melibatkan mangsa berusia 62 tahun.
“(Mangsa) mengalami kecederaan parah di muka dan kepala ditemui dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah tersebut.
“Polis menahan seorang lelaki yang juga merupakan anak mangsa berusia 24 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati suspek tidak berpuas hati berhubung isu harta keluarga.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Cheras untuk proses bedah siasat.
Jelas Ridzuan, permohonan reman terhadap suspek telah dibuat dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 September ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” ujarnya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki warga emas maut dibunuh anak appeared first on Kosmo Digital.