Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA TINGGI – Tiga lokaliti di daerah ini iaitu Felda Sungai Mas, Bandar Mas dan Felda Papan Timur dikesan terlibat dalam kluster tuberkulosis (tibi) apabila 33 individu disahkan positif, termasuk pelajar sekolah, warga emas dan kanak-kanak.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor membuat pemantauan dan persediaan tinggi di kawasan terbabit, sementara rutin harian juga berjalan seperti biasa.
“Dalam Mesyuarat Tindakan Daerah baru-baru ini, KKM maklum sudah buat saringan awal terhadap kontak rapat bagi kes pertama dan keadaan masih terkawal.
“Di kawasan yang terbabit, kehidupan seharian dalam komuniti berjalan seperti biasa, cuma mereka minta berjaga-jaga dengan pakai penutup hidung dan mulut serta jaga kebersihan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kes pertama dilaporkan pada 25 Januari lalu membabitkan seorang wanita berusia 40-an.
Menurutnya, susulan itu, saringan awal dibuat ke atas semua kontak rapat pesakit, sebelum 33 orang disahkan positif tibi termasuk pelajar sekolah, warga emas dan kanak-kanak.
Terdahulu Kosmo! melaporkan satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga semalam.
Satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi. – KOSMO! ONLINE
The post Kluster tibi: 33 positif termasuk murid sekolah, warga emas appeared first on Kosmo Digital.