Auto Added by WPeMatico

BATU PAHAT – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri mencadangkan agar Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tanpa bergantung kepada mana-mana gabungan atau kerjasama politik luar.
Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail berkata, kemenangan besar dalam PRN ke-15 lalu satu pencapaian besar yang membuktikan bahawa BN Johor masih kukuh, diyakini dan masih menjadi pilihan majoriti rakyat di negeri ini dan kemenangan itu dicapai tanpa perlu bergantung kepada gabungan parti politik luar.
Katanya, kerjasama dengan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, walaupun bersifat sementara dan demi kestabilan negara, telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi akar umbi.
“Rakyat sukar membezakan siapa lawan dan siapa kawan, ini merugikan kita dalam jangka panjang.
“BN Johor mempunyai jentera yang tersusun, berdisiplin, berpengalaman dan sangat memahami landskap politik setempat selain mempunyai pemimpin tempatan yang berwibawa, berdedikasi serta sokongan dari akar umbi yang terbukti setia,” katanya.
Azman berkata demikian ketika diminta mengulas usul yang dibentangkan melalui Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri hari ini.
Hadir untuk merasmikan adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Ahmad Maslan. – KOSMO! ONLINE
The post PRN Johor: UMNO Bakri gesa BN bertanding solo appeared first on Kosmo Digital.