Auto Added by WPeMatico

RANTAU PANJANG – Cubaan seorang lelaki warga Thailand untuk menyeludup sebanyak 14.3 kilogram (kg) ganja bernilai RM1.4 juta menggunakan dua buah bagasi gagal selepas ditahan di Pintu 1, Zon Bebas di sini kira-kira tiga minggu lalu.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan melakukan rampasan itu kira-kira pukul 9.15 pagi semasa Unit Narkotik Zon Timur Rantau Panjang menjalankan tugasan di sempadan Malaysia-Thailand pada 27 Mei lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai sebuah bagasi yang ditinggalkan di Pintu 1, Zon Bebas di sini.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap beg tersebut mendapati ia mengandungi 10 peket plastik lutsinar yang disyaki bunga ganja.
“Pada masa sama, pihak kastam turut menahan seorang lelaki warga Thailand bersama sebuah lagi bagasi di pintu masuk negara ini.
“Pemeriksaan di dalam bagasi dibawa suspek membawa kepada penemuan sebanyak 15 peket plastik lutsinar yang dipercayai dadah jenis sama,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, secara keseluruhannya, dua buah bagasi itu mengandungi sebanyak 25 peket dadah jenis ganja seberat 14.3 kg yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kesemua dadah itu dipercayai diseludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok sebelum dibawa keluar melalui Zon Bebas di sini.
“Kedua-dua bagasi berisi ganja dan suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Thailand dicekup seludup 14.3 kg ganja dalam bagasi appeared first on Kosmo Digital.