Auto Added by WPeMatico

![]()
MISI merampas kembali takhta Asia menjadi agenda utama skuad badminton negara apabila meletakkan sasaran menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 yang bakal membuka tirai di Tsingtao, China hari ini.
Biarpun berpuas hati selaku naib juara pada 2024, Malaysia bertekad untuk mengulangi sejarah gemilang edisi 2022 dalam kejohanan dwitahunan berlangsung dari 3 hingga 8 Februari ini.
Bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan berani dengan mempertaruhkan barisan pemain muda dan pelapis bagi menggalas cabaran kali ini, bukannya membariskan skuad senior sepenuhnya.
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menegaskan, keputusan itu diambil sebagai strategi jangka panjang demi pembangunan masa depan skuad kebangsaan.
“Kita tidak boleh hantar semua pemain utama ke setiap kejohanan. Kena beri peluang kepada generasi baharu untuk beraksi di pentas besar seperti ini supaya mereka dapat pendedahan berguna.
“Pengalaman ini bukan sesuatu yang boleh dibeli dengan wang, sebaliknya pemain muda perlu turun gelanggang, bermain dan rasai sendiri tekanan dalam kejohanan berpasukan,” katanya.
Bekas jaguh nombor satu dunia itu tidak berselindung mentaliti kemenangan tetap diterapkan dengan sasaran untuk membawa pulang kejuaraan menjadi buruan utama walaupun dibarisi muka baharu.
“Sasaran mahu juara itu normal apabila kita menghantar pasukan. Apa yang lebih penting, pihak pengurusan dan jurulatih mahu melihat kualiti serta tahap permainan bakal ditunjukkan oleh mereka.
“Walaupun jika keputusan tidak memihak kepada kita, asalkan mereka berjuang habis-habisan di dalam gelanggang, itu sudah cukup positif untuk dinilai oleh barisan kejurulatihan bagi perancangan masa hadapan,” ujarnya.
Edisi keenam di China ini bakal menjadi medan ujian sebenar buat ‘ubi muda’ membuktikan mereka sudah bersedia untuk menyambung legasi kecemerlangan badminton Malaysia serta mengulangi kejayaan bergelar Raja Asia.
The post Malaysia sasar rampas gelaran BATC appeared first on Kosmo Digital.
