Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Komitmen menjaga kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dizahirkan apabila 16,000 beg sumbangan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M disiapkan untuk anggota yang akan bertugas di perbatasan negara sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Markas ATM Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan berkata, pembungkusan sumbangan itu dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA), Seksyen Kebajikan ATM dengan kerjasama Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) ATM.
Program yang berlangsung di Dewan Mulia, Rumah Bakat ATM, Kem Kementah itu diketuai Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat ATM, Datin Siti Juana Md Ibrahim dan disertai kira-kira 50 ahli Bakat darat, laut serta udara.
“Sebanyak 16,000 bungkusan telah disiapkan secara berperingkat sejak sebulan lalu, dengan 400 beg terakhir disempurnakan dalam satu acara khas hari ini.
“(Program ini) sebagai simbol solidariti dan penghargaan kepada anggota yang berkorban masa bersama keluarga demi mempertahankan negara,” kata kenyataan itu hari ini.
Jelas kenyataan itu, majlis penyerahan rasmi beg sumbangan dijadual berlangsung pada 10 Mac ini dan akan disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum diagihkan kepada markas formasi perkhidmatan untuk diserahkan kepada anggota terlibat.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan selari dengan Tonggak Ke-5 Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24 iaitu ‘Cakna Anggota, Keluarga dan Veteran ATM, Berpisah Tiada’ yang menekankan kesejahteraan serta moral anggota sebagai tunjang kekuatan pertahanan negara.
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan berbentuk material, sebaliknya simbol ingatan negara kepada para perwira yang terus berdiri di barisan hadapan ketika rakyat menyambut hari kemenangan bersama keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 16,000 beg raya buat wira sempadan appeared first on Kosmo Digital.
