Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas syarikat bas yang terlibat dalam kemalangan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden membabitkan rombongan murid sekolah itu.
“Ya kita ada terima laporan dan kes kemalangan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“JPJ akan jalankan JISA ke atas pengendali bas tersebut dan akan ambil tindakan selanjutnya selepas laporan audit diterima,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, seramai 30 murid Tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang serta lima orang guru berdepan detik cemas apabila bas dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebuah pokok di Jalan Persiaran Universiti 1 Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.18 tengah hari itu, seorang guru dan tiga murid mengalami cedera ringan pada bahagian kepala akibat terhantuk.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, ketika kejadian, bas yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu dalam perjalanan dari kilang coklat Beryl’s menuju ke G2G Animal Garden di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post JPJ laksana audit keselamatan bas terlibat kemalangan di UPM appeared first on Kosmo Digital.