Auto Added by WPeMatico

AMPANG – Seorang remaja berusia 18 tahun diperintah bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun di asrama sebuah pusat pengajian swasta di sini tahun lalu.
Majistret Normaizan Rahim memerintahkan demikian selepas mendengar laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan fakta kes pada tarikh jatuh hukum yang telah ditetapkan terhadap remaja itu hari ini.
Selain bon berkelakuan baik mahkamah turut memerintahkan tertuduh wajib menjalani Bengkel Interaktif yang dianjurkan JKM.
“Mahkamah memerintahkan penama menyempurnakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan syarat ibu bapa atau penjaga menyempurnakan bon dengan cagaran RM3,000. Ibu bapa atau penjaga juga perlu memastikan penama tidak lagi melakukan kesalahan sepanjang tempoh bon,” kata Majistret Normaizan.
Mengikut pertuduhan pesalah juvana yang ketika kejadian berusia 17 tahun itu didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 13 tahun (ketika kejadian).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di asrama sebuah pusat pengajian swasta pukul 2.30 petang pada pertengahan April tahun lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 14 akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu ketika prosiding semasa dibacakan semula pertuduhan, remaja itu kekal mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Semasa prosiding pesalah juvana itu diwakili peguam A.Rahman Mohd. Nasir manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani.
Sementara itu peguam A.Rahman ketika ditemui selepas prosiding berkata, antara rayuan pihaknya semasa prosiding ialah anak guamnya memohon maaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.
“Rayuan lain ialah anak guam saya telah mendapat tawaran untuk belajar di dua institut pengajian tinggi,” kata peguam itu.
Dalam pada itu Norhidayah ketika ditemui berkata, pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira trauma yang dialami selain kejadian merupakan titik hitam terhadap kehidupan mangsa.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja berusia 18 tahun yang disyaki melakukan serangan seksual di sebuah pusat pengajian tahfiz di sini ditahan polis.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa.
Menurutnya, kejadian itu didakwa berlaku pada April tahun lalu apabila mangsa melakukan perbuatan lain yang tidak senonoh terhadap mangsa.- KOSMO! ONLINE
The post Remaja ‘buat hal’ dengan pelajar tahfiz diperintah bon berkelakukan baik appeared first on Kosmo Digital.