Auto Added by WPeMatico

![]()
SETIU – Perjalanan pulang dua tentera untuk bercuti raya bertukar tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 70, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Buluh, di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 12.05 tengah hari itu, kedua-dua mangsa iaitu Muhammad Aminuddin Amran, 21, dan
Mohamad Shakiran Saidi, 36, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua tentera tersebut yang berkhidmat di Kem Tebrau, Johor dikatakan dalam perjalanan pulang bercuti di kampung masing-masing di Pulai Chondong, Machang dan Kampung Kedondong, Pasir Mas, Kelantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Honda Civic dipandu Muhammad Aminuddin dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler dipandu lelaki berusia 38 tahun.
“Impak pelanggaran menyebabkan treler terbabit mengelongsor ke laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah kereta Proton Saga sebelum merempuh kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza yang diletak di dalam garaj di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, mayat Muhammad Aminuddin dan Mohamad Shakiran telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pemandu dan penumpang kereta Proton Saga yang cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama. – KOSMO! ONLINE
The post Dua askar pulang bercuti maut kemalangan appeared first on Kosmo Digital.
