Auto Added by WPeMatico
ASEAN bersedia adakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS bila-bila masa

KUALA LUMPUR – ASEAN menyatakan kesediaannya untuk mengadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) pada bila-bila masa dalam tahun ini, sebaik sahaja menerima pengesahan rasmi daripada Presiden Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 telah menghantar permohonan rasmi kepada Trump berhubung penganjuran sidang tersebut.
Katanya, ketika ini pihaknya hanya menantikan maklum balas serta persetujuan daripada negara besar itu.
“Jadi saya tidak fikir ia menjadi isu dalam apa-apa cara sekalipun. Jika esok kita menerima surat daripada Presiden Trump yang menyatakan persetujuan untuk mengadakan sidang kemuncak pada bulan Jun atau jika Jun terlalu awal, maka dalam beberapa bulan akan datang pun tidak mengapa.
“Kita tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya pada sidang akhbar khas sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Trump bagi memohon sokongan beliau untuk menganjurkan satu pertemuan antara ASEAN dan AS.
Ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN pada Isnin lalu, Anwar berkata, ia susulan mandat yang dipersetujui semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN seperti mana diadakan di Langkawi awal tahun ini.
Pada 5 April lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-AS di bawah Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif. – KOSMO! ONLINE
The post ASEAN bersedia adakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS bila-bila masa appeared first on Kosmo Digital.