Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Seorang pegawai imigresen dikesan menyimpan wang rasuah kira-kira RM1.5 juta dalam akaun Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya dan keluarga dalam serbuan Op Rentas dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai lebih RM1 juta dalam akaun TH atas namanya, isteri dan anak-anak, manakala lebih RM400,000 pula disimpan dalam akaun ASB.
Selain itu, turut dirampas daripada suspek lelaki terbabit ialah barang kemas dianggarkan bernilai RM60,000 serta wang tunai berjumlah RM13,900.
Selain itu, SPRM Kuala Lumpur turut merampas wang tunai berjumlah RM150,000 yang mana RM125,000 dijumpai di atas bumbung rumah seorang pegawai wanita serta barangan kemas bernilai anggaran RM15,000.
Seorang lagi suspek wanita pula dijumpai menyimpan barang kemas bernilai anggaran RM80,000 serta wang tunai berjumlah RM41,470 dan 13,300 bath.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, ketiga-tiga suspek disyaki bersekongkol dengan sindiket counter setting yang mana mereka dipercayai menerima rasuah.
Katanya, ia sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga negara asing ke negara ini tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
Katanya, Op Rentas telah dijalankan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM sejak Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai imigresen simpan duit rasuah RM1.5 juta dalam akaun TH, ASB appeared first on Kosmo Digital.