Auto Added by WPeMatico

![]()
PEMAIN berdarah warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca terpaksa menunggu lebih lama sebelum membuat penampilan kompetitif selepas sekadar memanaskan bangku simpanan ketika Velez Sarsfield seri 1-1 bertemu Independiente dalam aksi Liga Argentina, awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, pengendali Velez, Guillermo Barros Schelotto menyenaraikan Machuca dalam skuad utama buat kali pertama musim ini, tetapi membuat keputusan untuk tidak memberi minit permainan kepadanya dengan keputusan 1-1 kekal hingga wisel penamat.
Sebagai rekod, Machuca sudah empat bulan tidak beraksi secara kompetitif selepas digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak dihukum pada September lepas susulan isu pemalsuan dokumen untuk mewakili skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Namun, Machuca yang berusia 26 tahun sudah kembali menjalani latihan bersama Velez susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan hukuman penggantungan 12 yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu lalu.
Kemungkinan khidmat Machuca akan ditagih Schelotto pada aksi liga seterusnya apabila dijadual menentang gergasi Argentina, Boca Juniors pada 9 Februari depan.
Selain Machuca, enam lagi pemain yang telah dihukum penggantungan 12 bulan oleh FIFA adalah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces.
Garces tidak menunggu lama untuk membuat penampilan apabila dimasukkan sebagai pemain gantian ketika membantu pasukan Alaves menang ke atas Espanyol 2-1 dalam aksi La Liga, kelmarin.
Figueiredo, Irazabal dan Hevel turut membuat penampilan pertama ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menang 3-0 ke atas Shan United dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, Khamis lepas.
The post Machuca belum dapat peluang beraksi appeared first on Kosmo Digital.