Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan agar satu prosiding inkues dijalankan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyatannya sebentar tadi, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti laporan siasatan dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
“Ia adalah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
“Prosiding inkues ini bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina. Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Sebelum ini AGC dalam kenyatannya telah mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina, 13, digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas remaja tersebut.
Kata kenyataan itu, terdapat keperluan supaya siasatan lanjut diambil oleh PDRM bagi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu meninggal dunia 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE
The post Kematian Zara Qairina: AGC putuskan inkues dijalankan appeared first on Kosmo Digital.