Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR- Pemimpin blok serantau kini mula berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini.
Hari ini, pemimpin Asia Tenggara akan memulakan sesi dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 (Pleno) sebelum menyertai sesi perbincangan lain melibatkan isu seperti cabaran semasa, keutamaan strategik dan usaha memperkukuh perpaduan.
Pada masa sama, turut dijadualkan berlangsung pada hari ini ialah Sesi Dialog Pemimpin ASEAN bersama Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Sesi Dialog bersama Wakil Belia ASEAN, serta Sesi Dialog bersama Wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).
Turut berlangsung ialah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama yang menjadi penanda aras strategik dalam membentuk fasa seterusnya pembangunan Komuniti ASEAN yang diadakan sebelah petang.
Sidang hari ini akan diakhiri dengan Majlis Makan Malam Gala dianjurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Tahun ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN, dua pertemuan penting peringkat tinggi turut diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama. – KOSMO! ONLINE
The post ASEAN: Sidang kemuncak bermula, bincang pelbagai isu utama appeared first on Kosmo Digital.