Auto Added by WPeMatico

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki warga Pakistan diberkas bersama isterinya selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri minyak petrol sebuah motosikal di dalam bangunan apartmen di Tanjung Kupang, Gelang Patah, di sini.
Lelaki Pakistan yang berusia 38 tahun dan isterinya wanita tempatan berusia 60 tahun diberkas pada pukul 11 pagi selepas dicekup ketika sedang membuat ‘kerja’ jenayah terbabit.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kedua-dua suspek diserahkan kepada pihak polis selepas mereka ditahan polis bantuan apartmen terbabit sejurus menerima laporan daripada pengadu.
Jelasnya, berdasarkan laporan yang diterima, pengadu iaitu seorang wanita tempatan berusia 28 tahun bersama suaminya berusia 29 tahun ingin menggunakan motosikal untuk ke tempat kerja kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Pengadu menyedari kelibat dua individu tidak dikenali sedang mencuri minyak petrol motosikal milik suaminya.
“Dengan bantuan polis apartmen, kedua-dua suspek berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis,”katanya ketika dihubungi di sini.
Kumarasan berkata, selain tangkapan, polis merampas dua botol mengandungi minyak petrol dan satu bilah gunting.
Jelasnya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau serta negatif penyalahgunaan dadah.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 20 saat menunjukkan seorang lelaki Pakistan sedang mengisi minyak petrol ke dalam botol melalui saluran minyak motosikal yang telah digunting.
Dalam video berkenaan suspek yang ditemani isterinya tidak mengaku yang dia memotong saluran minyak tersebut sebaliknya memberi alasan hanya mahu tolong individu lain selain menyatakan dia tidak mempunyai motosikal. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Lelaki Pakistan, bini curi minyak petrol di apartmen appeared first on Kosmo Digital.