Auto Added by WPeMatico

![]()
TANJUNG MALIM – Dua bapa tidak dapat menyembunyikan kesedihan dan rasa pilu apabila menerima ijazah sarjana muda secara anumerta arwah anak masing-masing pada hari pertama Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris Kampus Sultan Azlan Shah hari ini.
Bapa kepada Allahyarham Nurly Sahirah, Azman Mohamad, 63, tidak menyangka hadir ke majlis konvokesyen itu mewakili arwah anaknya bagi menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Penddikan Khas) dengan Kepujian.
“Saya menunjukkan ketabahan dan tidak mengalirkan air mata semasa mengambil sijil (ijazah anumerta) yang disampaikan oleh Canselor (Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim).
“Ketentuan takdir. Saya reda walaupun amat berhasrat untuk melihat arwah merangkul ijazah sendiri,” katanya yang turut ditemani isteri, Kamariah Abdul Latif, 60, di Dewan Tuanku Canselor di sini.
Sementara itu, bapa kepada Allahyarham Fatin Nasrien, Fadli Abdul Rahman, 50, menyifatkan kehilangan anak sulung harapan keluarga itu sebagai ketentuan takdir.
“Benda dah berlaku. Saya rasa gembira menerima ijazah (anumerta) ini hasil pengorbanan dia sendiri. Tetapi sedih lebih banyak daripada gembira kerana Allahyarham merupakan harapan keluarga,” katanya yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan secara anumerta.
Allahyarham Nurly Sahirah dan Fatin Nasrien antara 15 mangsa yang terkorban dalam nahas bas membawa penuntut universiti itu di Gerik pada 9 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Ketentuan takdir, saya reda – Bapa Nurly Sahirah appeared first on Kosmo Digital.