Auto Added by WPeMatico

KANGAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas lebih 3,000 kotak berisi cecair dan peranti vape bernilai lebih RM300,000 dalam operasi khas di sekitar Kangar dan Arau semalam.
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi dikenali sebagai Op Taring Alpha 3 itu dijalankan hasil risikan selama sebulan terhadap beberapa premis yang masih berdegil menjual rokok elektronik secara haram.
“Larangan penjualan vape sudah berkuat kuasa sejak 1 Ogos lalu, namun masih ada pihak yang tidak mematuhi undang-undang dan berani meneruskan kegiatan mereka.
“Operasi yang bermula pukul 1.30 petang hingga 6 petang itu berjaya menahan tiga lelaki Melayu berusia 18 hingga 25 tahun kerana bertindak sebagai penjaga premis,” katanya kepada pemberita.
Menurut Shahrum, pemeriksaan menemui ribuan kotak berwarna-warni mengandungi pelbagai jenis cecair dan peranti vape dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM316,980.
“Semua suspek diserahkan kepada pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan penolong penguat kuasa MPK cawangan Arau untuk tindakan lanjut.
“MPK djuga telah mengeluarkan notis kesalahan serta kompaun kerana kesemua premis terbabit beroperasi tanpa lesen sah selain melanggar Akta Kerajaan Tempatan 1976,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post 3,386 kotak vape RM316,980 dirampas appeared first on Kosmo Digital.