Auto Added by WPeMatico

![]()
AMPANG JAYA — Enam buah kereta milik penduduk di Taman Bukit Permai di sini mengalami kerosakan akibat dihempap runtuhan batu berhampiran kawasan parkir pangsapuri Mutiara Court, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi.
Bagaimanapun menurut Mohd. Azam, tiada mangsa cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati runtuhan berlaku dari cerun bukit berhampiran kawasan parkir.
“Runtuhan batu pertama dikesan pada pukul 8.15 pagi manakala yang kedua berlaku sekitar pukul 8.50 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, lima daripada enam kenderaan yang terjejas berjaya dikeluarkan, manakala kereta jenis Perodua Kancil mengalami kerosakan teruk (total loss) akibat dihempap batu besar.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah turut membantu menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian.
“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini giat menjalankan kerja pembersihan menggunakan jentera berat bagi mengalihkan batu yang menghalang kawasan parkir.
“Orang ramai diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati sebarang pergerakan batu atau aktiviti yang boleh membahayakan di kawasan cerun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post 6 kenderaan dihempap runtuhan batu di Ampang appeared first on Kosmo Digital.