Auto Added by WPeMatico

TAIPING – Penganjur program konvoi bermotorsikal perlu lebih bertanggungjawab dalam memenuhi hobi mereka, termasuk soal keselamatan para peserta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penganjur juga perlu tahu bahawa marsyal atau penyelia acara tidak boleh mengatasi peranan polis untuk mengawal aliran trafik termasuk menyekat kenderaan lain di simpang lampu isyarat jalan raya.
Beliau tidak melihat aktiviti konvoi sebagai satu masalah, tetapi mahu penganjur memainkan peranan yang lebih besar termasuk memberi kerjasama kepada pihak polis.
“Konvoi ini satu bentuk hobi. Kita patut pupuk dan berikan galakan. Tetapi hobi tetap ada garis merah yang perlu dipatuhi. Jangan sampai timbulkan masalah kepada pengguna jalan raya lain, apalagi yang melibatkan nyawa,” katanya kepada pemberita semasa majlis peluncuran Kampung Temerlok, Trong sebagai Kampung Angkat Madani Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di sini hari ini.
Saifuddin berkata, pihak penganjur juga perlu mengadakan taklimat kepada peserta mengenai pematuhan had laju, jarak pemanduan yang selamat dan tidak menjadikan jalan raya sebagai trek lumba. – KOSMO! ONLINE
The post Penganjur konvoi jangan atasi kuasa polis kawal aliran trafik appeared first on Kosmo Digital.