Auto Added by WPeMatico

MANILA – Presiden Ferdinand berkata hari ini bahawa beliau ‘tidak sedikit pun’ menyalahkan rakyat kerana menyertai demonstrasi ketika kemarahan rakyat semakin memuncak berhubung skandal rasuah melibatkan projek kawalan banjir palsu.
Skandal infrastruktur itu mencetuskan siri protes di seluruh ibu Manila sejak beberapa minggu lalu termasuk bantahan besar melibatkan kira-kira 3,000 pelajar di kampus Universiti Filipina.
Walaupun kebanyakan demonstrasi setakat ini berskala kecil, protes tahunan yang dikaitkan dengan pengisytiharan undang-undang tentera pada tahun 1972 oleh bapa Marcos dijangka menarik kehadiran ramai penunjuk perasaan, Ahad ini.
Tentera negara Asia Tenggara itu juga diletakkan di bawah ‘amaran merah’ sebagai langkah berjaga-jaga.
Pada taklimat media hari ini yang mana beliau menamakan bekas ketua hakim Mahkamah Agung sebagai ketua badan penyiasat, Marcos berkata, kemarahan orang ramai adalah wajar.
“Untuk menunjukkan bahawa anda berang, untuk menunjukkan bahawa anda marah, untuk menunjukkan bahawa anda kecewa, untuk menunjukkan bahawa anda mahukan keadilan. Apa yang salah dengan itu?
“Saya tidak menyalahkan merek (penunjuk perasaan). Sedikit pun tidak,” kata Marcos.
Beliau juga mengulangi janji bahawa rakan dan sekutu ‘tidak akan dikecualikan’ daripada keadilan ketika ditanya mengenai sepupunya, Speaker Dewan Martin Romualdez yang namanya disebut oleh seorang saksi pada perbicaraan kes rasuah minggu lepas.
Romualdez yang menafikan sebarang penglibatan, merupakan salah seorang daripada ramai ahli parlimen yang menjadi tumpuan susulan skandal yang semakin meluas itu.
Minggu lepas, pemilik sebuah firma pembinaan menuduh hampir 30 ahli Parlimen serta pegawai Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya (DPWH) menerima wang suapan.
Marcos hari ini mengumumkan bekas ketua hakim Mahkamah Agung Andres Reyes sebagai ketua suruhanjaya tiga anggota untuk menyiasat projek kawalan banjir 10 tahun lalu.
Walaupun mempunyai kuasa untuk mengadakan perbicaraan dan menyemak bukti, suruhanjaya itu tidak diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman.
Filipina mempunyai sejarah panjang melibatkan penyelewengan dana awam dengan ahli-ahli politik berpangkat tinggi yang didapati bersalah menerima rasuah biasanya terlepas hukuman penjara yang berat.
Jabatan Kewangan menganggarkan bahawa ekonomi Filipina rugi sehingga 118.5 bilion peso (RM8.4 bilion) dari 2023 hingga 2025 disebabkan rasuah dalam projek kawalan banjir. – AFP
The post Marcos akur protes anti rasuah appeared first on Kosmo Digital.