Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Pemeteraian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Selangor dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada September tahun depan.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri kini berada di peringkat akhir libat urus bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, termasuk melalui Unit Kerjasama Awam Swasta.
Menurutnya, Selangor telah menyerahkan semua dokumen dan inventori berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada Kerajaan Persekutuan lebih setahun lalu, termasuk perkara yang melibatkan pihak ketiga.
“Sekiranya tiada sebarang halangan dan semua syarat dipersetujui, kita jangka pemeteraian boleh dilakukan pada suku ketiga tahun depan dan seterusnya dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada hari pertama Operasi Terjah Pembersihan Awam, hari ini.
Suee Lim berkata, pelaksanaan Akta 672 akan memperkukuh kuasa penguatkuasaan khususnya dalam membanteras aktiviti pelupusan sampah haram.
“Akta ini membolehkan pesalah didakwa di mahkamah dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.
“Ketika ini, di bawah undang-undang kecil PBT, denda hanya sekitar RM1,000 dan menyebabkan pesalah tidak gentar,” jelasnya.
Tambah beliau, hukuman lebih berat diyakini dapat mengurangkan pelupusan sampah haram dan meningkatkan pematuhan terhadap sistem pelupusan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
The post Selangor sasar September tahun depan meterai Akta 672, tangani sampah haram appeared first on Kosmo Digital.