Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal p-hailing cedera ringan selepas tercampak akibat merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Awan Besar, Bukit Jalil, di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, insiden itu membabitkan seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun dan kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 80 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 4.55 petang ketika sebuah kereta jenis Honda WRV dari arah Awan Besar ke Taman Yarl.
“Semasa kenderaan itu membelok ke kanan, ia telah dilanggar sebuah motosikal dari arah sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati ketika kejadian, penunggang motosikal sedang mengejar lampu isyarat yang hendak bertukar kepada warna merah.
“Akibat kemalangan, remaja tersebut yang mengalami kecederaan pada jari dan bibir dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan,” jelasnya.
Tambahnya, kes diklasifikasikan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59). – KOSMO! ONLINE
The post Kejar lampu isyarat, ‘rider’ tercampak rempuh kereta appeared first on Kosmo Digital.