Auto Added by WPeMatico

MALAYSIA berpotensi untuk hilang status sebagai salah satu kuasa besar badminton dunia sekiranya tidak ada pertambahan kejohanan di peringkat bawah umur bagi mencungkil bakat baharu.
Legenda badminton tanah air, Datuk Rashid Sidek mengakui, sekiranya situasi itu berterusan, tidak mustahil Malaysia akan dipintas pasukan-pasukan lain yang sedang membangun seperti Thailand.
Menurutnya, pemain-pemain di peringkat bawah umur pada ketika ini sekadar menjalani latihan semata-mata dan kurang didedahkan dengan suasana kompetitif akibat kurangnya kejohanan yang dianjurkan.
“Memang betul ada potensi (hilang status kuasa besar) kerana kita tengok sekarang Thailand sudah ada juara dunia dalam perseorangan lelaki dan wanita, begitu juga dengan beregu campuran mereka.
“Sebenarnya kita kekurangan bakat pemain, yang ada sekarang pun beberapa orang sahaja. Malaysia ada ramai pemain, tetapi tidak ramai boleh diketengahkan kerana kita kurang kejohanan di peringkat bawah umur,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya (ASUM) 2024 di Kuala Lumpur malam kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ketiadaan pemain-pemain, terutamanya dalam acara perseorangan wanita yang mampu menggalas cabaran negara di peringkat tertinggi seperti dilakukan Datin Wong Mew Choo.
Justeru, menjelang pemilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini, Rashid berharap pimpinan baharu menjadikan kejohanan peringkat bawah umur sebagai keutamaan.
The post Malaysia terancam hilang status kuasa besar appeared first on Kosmo Digital.