Auto Added by WPeMatico
Zara Qairina: Tindakan terhadap pegawai diambil jika ada pelanggaran SOP

KUALA LUMPUR – Tindakan terhadap pegawai penyiasat dan penyelia yang terlibat dalam siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir sedang diteliti sekiranya terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, beberapa tindakan perlu dikaji daripada sudut tatatertib.
“Saya pun sudah meminta Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengambil tindakan yang perlu berdasarkan sejauh mana berlakunya perlanggaran.
“Tindakan kita adalah menyiasat segala perkara yang ditetapkan mengikut lunas undang-undang dan SOP. Jika ada perkara bertentangan, kita akan ambil tindakan terhadap pegawai terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Mengulas mengenai siasatan awal kes Zara Qairina, Mohd. Khalid berkata, ada perkara sebenarnya sudah dilaksanakan.
“Sebagai contoh ibu kepada si mati menandatangani kebenaran dan itu prosedur yang sentiasa kita laksanakan,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan, kegagalan pegawai penyiasat memohon bedah siasat pada peringkat awal dikenal pasti sebagai punca utama ketidakpatuhan SOP dalam kes kematian Zara Qairina.
Susulan itu, JIPS Bukit Aman mengambil keterangan Ketua Polis Daerah (KPD) berpangkat Superintendan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) berpangkat Asisten Superintendan dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
Mengulas lanjut, Mohd. Khalid berkata, hasil siasatan itu akan menentukan tindakan seterusnya yang boleh diambil pihaknya mengikut undang-undang sedia ada.
Zara Qairina, 13, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah. – KOSMO! ONLINE
The post Zara Qairina: Tindakan terhadap pegawai diambil jika ada pelanggaran SOP appeared first on Kosmo Digital.