Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Bekas pemain badminton kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dianggap antara calon terbaik mengisi kekosongan kerusi jurulatih perseorangan wanita Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen menyifatkan jurulatih Persatuan Badminton Ireland itubmampu menawarkan sesuatu buat skuad kebangsaan berdasarkan pengalaman yang dimiliki.
Beliau berkata, kehadiran Iskandar mampu mengukuhkan lagi struktur perseorangan negara, namun Jonassen tidak dapat mengesahkan sama ada bekas perseorangan lelaki kebangsaan itu berada dalam senarai pendek ataupun tidak.
“Saya tidak boleh mengesahkan perkara itu tetapi ia merupakan satu topik yang cukup baik. Beliau adalah jurulatih berpengalaman dan mampu untuk menguatkan pasukan kita.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada masa yang sesuai serta kedudukan yang tepat dalam struktur (kejurulatihan) sedia ada,” kata bekas ketua jurulatih Denmark itu.
Sebelum ini, timbul desas-desus Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu mendapatkan khidmat Iskandar dengan jurulatih berusia 34 tahun itu turut mengakui pernah dihubungi badan induk berkenaan.
Buat masa ini, keputusan akhir yang bakal dibuat Iskandar bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk keluarga memandangkan beliau masih memiliki kontrak bersama Ireland sehingga 2028.
Sementara itu, Jonassen turut memberi bayangan masih ada beberapa calon lain berada dalam radar BAM untuk dibawa masuk ke ABM bagi memperkasakan sistem latihan secara menyeluruh bermula dari peringkat remaja hingga senior.
“Memandangkan masih pertengahan tahun, jadi kebanyakan jurulatih terikat dengan kontrak. Untuk urusan pelantikan, ia memerlukan masa yang sangat sesuai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Iskandar layak bimbing perseorangan wanita appeared first on Kosmo Digital.