Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan kajian berkaitan cadangan menaikkan had umur persaraan wajib bagi penjawat awam kepada 65 tahun.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, cadangan berkenaan perlu diteliti secara mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Belum ada kajian (pada ketika ini). JPA akan melaksanakan kajian terlebih dahulu,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri syarahan perdana bertajuk State Capacity and Directed Growth: A Mission Oriented di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat menjelaskan, had umur persaraan wajib akan diteliti semula untuk disesuaikan dengan peralihan Malaysia kepada negara tua.
Perkara itu terkandung dalam prakarsa kesembilan RMK-13 yang memberi penekanan kepada usaha mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk kesemua rakyat.
Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan mempertimbang untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun.
Azalina dilaporkan berkata, adalah satu kerugian apabila individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja.
Di Malaysia, persaraan wajib bagi penjawat awam ketika ini ditetapkan pada usia 60 tahun yang juga adalah usia persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012. – KOSMO! ONLINE
The post JPA kaji cadangan naik umur persaraan wajib kepada 65 tahun appeared first on Kosmo Digital.