Auto Added by WPeMatico

![]()
BANGKOK – Impian kuartet 4×100 meter (m) wanita negara untuk memburu pingat di Sukan SEA Thailand 2025 tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri aksi final itu di Stadium Nasional Suphachalasai, hari ini.
Keputusan berat itu terpaksa dibuat pada saat-saat akhir selepas pelari negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang mengalami kecederaan hamstring tidak sempat pulih dan lebih menyedihkan pelari gantian, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas yang sepatutnya mengisi kekosongan itu turut bergelut kecederaan.
Ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil mengesahkan perkara itu dan menegaskan keputusan tersebut terpaksa dibuat selepas perbincangan menyeluruh bersama pasukan perubatan.
“Zaidatul mengalami kecederaan semasa acara final 100m wanita dan walaupun kita telah cuba sedaya upaya untuk memulihkannya, namun dia yang menjalani rawatan Institut Sukan Negara tidak cergas untuk diturunkan.
“Sepatutnya, Chelsea mengisi kekosongan itu tetapi dia juga mengalami kecederaan sewaktu latihan. Jadi, Chelsea tidak menyertai sebarang acara di sini. Sebab itu, kita menarik diri acara 4x100m ini. Terlalu ramai yang cedera pada peringkat akhir. Ia memberi kesan besar kepada pasukan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Penarikan diri itu melengkapkan episod duka buat kuartet wanita yang sebelum ini sudah pun kehilangan khidmat beberapa pelari utama lain seperti Shereen Samson Vallabouy, Azreen Nabila Alias sewaktu di Kuala Lumpur yang diketepikan atas masalah kecederaan.
Ketiadaan kuartet negara pada aksi final itu membuka laluan kepada kuartet tuan rumah, Thailand untuk memenangi pingat emas dengan mudah, diikuti oleh Vietnam meraih perak dan Filipina melengkapkan podium gangsa. -KOSMO! ONLINE
The post Sukan SEA: Kecederaan punca kuartet 4x100m wanita tarik diri appeared first on Kosmo Digital.