Auto Added by WPeMatico

![]()
LUMUT – Lebih 300 buah masjid di seluruh negeri ini terlibat dengan program Jualan Ikan Murah oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak yang bermula hari ini.
Pengarah LKIM Perak, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, lokasi pertama program yang julung kali diadakan itu adalah di Masjid Nurul Hidayah, Seri Manjung dan ia akan diteruskan di masjid-masjid terpilih di seluruh negeri.
Katanya, antara 500 kilogram (kg) hingga 1 tan ikan akan dijual di masjid-masjid tersebut, bergantung kepada jumlah penduduk di kawasan terlibat.
“Inisiatif ini bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan bekalan ikan pada harga murah dan berkualiti.
“LKIM Perak komited dalam memastikan bekalan sumber ikan sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat.
“LKIM Negeri Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Perak serta jawatankuasa masjid atas kerjasama baik dalam menjayakan program ini,” katanya kepada Kosmo! di Seri Manjung hari ini.
Mengulas tentang jualan di Masjid Nurul Hidayah, Ahmad Zulkifli berkata, antara hasil laut yang dijual termasuklah kerang, sotong dan ketam serta pelbagai jenis ikan seperti kembung, sardin selain ikan merah.
Katanya, harganya juga dijual murah bagi memastikan golongan sasaran dapat membelinya sekali gus dimanfaatkan oleh mereka dan ahli keluarga.
“Pada program ini, kerang dijual pada harga RM13 perkg, ikan kembung (RM12), ikan sardin (RM12), udang (RM26), sotong (RM26), ketam (RM27) dan ikan merah RM25 seekor.
“Sebanyak 500kg hasil laut dijual hari ini bermula pukul 12.30 tengah hari dan kesemuanya habis dijual pada pukul 3 petang tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 300 masjid di Perak terlibat Jualan Ikan Murah LKIM appeared first on Kosmo Digital.