Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan penahanan seorang bekas anggota renjer tentera dalam lokap selama 311 hari pada 2015 adalah sah di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.
Muhammad Maliki Abdul Halim ditahan dalam lokap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula 26 Ogos 2014 hingga 3 Julai 2015.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas menolak rayuan akhir Muhammad Maliki Abdul Halim.
Dengan keputusan itu, mahkamah tertinggi tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mengetepikan pembayaran ganti rugi RM300,000 kepadanya akibat penahanan salah.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Nordin Hassan dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Dalam penghakiman bertulisnya Hakim Nordin menyatakan, pegawai pemerintah mempunyai kuasa untuk menahan perayu (anggota renjer) di bawah Seksyen 96(3) akta itu.
Beliau berpendirian, akta itu adalah undang-undang khas yang digubal di Parlimen mengenai disiplin anggota tentera dan mesti dipatuhi dengan ketat.
Menurut Hakim Nordin, Muhammad Maliki berdepan kesalahan serius berkaitan penyalahgunaan dadah.
Katanya, anggota tentera yang terlibat dalam keselamatan negara tidak boleh berada di bawah pengaruh bahan terlarang.
Terdahulu, pada 14 September 2023, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang memerintahkan Muhammad Maliki diberikan ganti rugi RM300,000 ekoran penahanan salah.
Ia apabila pada 12 September 2022, Mahkamah Tinggi mendapati penahanan dibuat ke atas lelaki itu tidak mengikut undang-undang dan berlaku kepincangan dalam prosedur tindakan tatatertib yang dibuat secara melulu.
Muhammad Maliki memfailkan saman pada Mei 2018 selepas mendakwa dia ditangkap secara salah selepas didapati positif dadah dalam operasi pencegahan di Batalion Ke-5 Rejimen Renjer Diraja, Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.
Muhammad Maliki diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Shaharuddin Mohamed, Low Wei Loke dan Norshafika Mustafa.
Sementara Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb, Siti Norashikin Hassanor dan Wan Nur Muhammad Ehsan Alauddin mewakili Pegawai Memerintah Batalion ke-5 Rejimen Renjer Diraja Leftenan Kolonel Shaifullizan Abd Aziz, pihak berkuasa sidang Panglima Bridged Kelapan Infantri Malaysia, Panglima Angkatan Tentera dan kerajaan. – KOSMO! ONLINE
The post Penahanan bekas renjer tentera lebih 300 hari sah appeared first on Kosmo Digital.