Auto Added by WPeMatico

![]()
KANGAR – Tindakan tegas ke atas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang terlibat dalam usaha menjatuhkan Menteri Besar (MB) Perlis menjadi bukti ketegasan dan disiplin tinggi parti.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, ia menjadi peringatan kepada semua ADUN dan Ahli Parlimen Pas agar sentiasa kembali kepada kepimpinan parti dalam menangani apa jua isu besar.
“Dalam Pas, semua memahami bahawa ADUN, Ahli Parlimen dan kepimpinan di setiap peringkat iaitu pusat hingga cawangan hatta ahli biasa tidak dibentuk mengikut sentimen dan emosi tetapi proses tarbiah berteraskan al-Quran dan sunah.
“Krisis Perlis ini diharap memperkukuhkan lagi kepercayaan ahli dan penyokong Pas serta mereka yang berada di atas pagar kerana dapat melihat sebuah parti yang tegas dan berdisiplin itu ada pada Pas,” katanya yang juga ADUN Jitra hari ini.
Beliau berkata, tindakan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli melepaskan jawatan adalah contoh kejayaan tarbiah Pas kepada ahlinya.
“Dalam Pas jawatan bukanlah kelebihan dan kebanggaan tetapi amanah yang sangat berat,” ujarnya.
Katanya, ketenangan Mohd. Shukri melepaskan kerusi nombor satu Perlis tanpa kata-kata yang sarat dengan kemarahan, kebencian dan kekecewaan jelas menunjukkan jiwa besar dan sifat tawaduk yang lahir dari ‘sekolah politik’ dan tarbiah Pas.
Menurutnya, Pas tidak mengajar ahlinya mengejar jawatan, juga tidak mengajar pemimpinnya mencintai jawatan.
“Sesungguhnya Pas mengajar pemimpinnya takut dengan amanah yang dipikul dan pada masa sama menuntut mereka tekun berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Tambahnya, Pas juga tidak mengajar pemimpinnya mengambil kesempatan daripada jawatan yang disandang, baik untuk diri, keluarga, kenalan mahupun parti.
“Ini kerana Pas mengetahui sifat-sifat buruk itu akan menghancurkan iaitu bukan sahaja terhadap pemimpin itu tetapi parti dan kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pas beri isyarat jelas, tiada kompromi cubaan jatuhkan MB Perlis appeared first on Kosmo Digital.