Auto Added by WPeMatico


TAPAH: Melakukan kerja-kerja kampung seperti menoreh getah, mengutip hasil durian dan petai dengan penuh berdisiplin dari awal pagi hingga petang membolehkan seorang Orang Asli iaitu ayah kepada enam zuriat di Kampung Orang Asli Batu 8, Sungai Tidong, Jalan Pahang di sini dapat menyara kehidupannya sekeluarga secara stabil dan tenang di kawasan yang tidak tercemar serta masih terjaga alam semula jadinya.
Menurut Bah Johan Bah Dot, 51, biarpun pendapatannya tidak menentu kerana sifat pekerjaannya yang bergantung pada faktor cuaca dan apabila tiba musim petai dan durian, hasil-hasil kampung seperti ulam-ulaman, pucuk paku, kulat, rebung, ubi kayu dan ikan sungai dapat membekalkan sumber makanan berterusan selain ternakan ayam secara sara diri.
“Cuma masalah saya, kediaman sebelum ini agak usang kerana dibina dengan binaan berasaskan kayu dan atap sahaja yang didiami saya sekeluarga termasuk menantu dan cucu. Agak sempit sebenarnya dan kurang selesa.
“Mujur, keprihatinan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang mengambil berat akan permohonan saya membolehkan mendiami rumah baharu yang selesa pada awal tahun ini dengan kos binaan sebanyak RM80,000 termasuk kemudahan utiliti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, kediaman 20 x 40 kaki persegi itu selesa lengkap dengan tiga bilik, satu bilik air, satu tandas serta ruang tamu dan dapur yang selesa.
“Sekiranya ada keramaian dan buat kenduri agak selesa termasuk saudara mara datang untuk melawat rumah. Pendapatan saya sekarang ini tidak menentu tidak tahu bila lagi baru memiliki kediaman sendiri.
“Proses permohonan juga tidak sukar selain pegawai Jakoa ada datang memantau keadaan fizikal rumah selain tambahan keperluan lain sekiranya diperlukan tetapi setakat ini tiada,” katanya.
Jelasnya, Jakoa turut membantu keperluan persekolahan anaknya terutamanya melibatkan pengangkutan selain memastikan infrastruktur seperti jalan raya dan lampu jalan sentiasa diselenggara dengan baik.
“Saya juga pernah menerima bantuan kotak makanan oleh kerajaan negeri Perak yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak botol, gula, tepung gandum, sardin dalam tin dan bihun.
“Malah, hasil hutan seperti ulam-ulaman, sayur-sayuran dan ikan sungai masih banyak sebagai sumber makanan secara rutin keluarga,” katanya.
Jakoa merupakan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) yang menyediakan Projek Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA) untuk membina rumah baharu atau membaik pulih kediaman masyarakat Orang Asli yang kurang berkemampuan terutamanya ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar dengan eKasih.
Agensi itu turut membantu masyarakat Orang Asli di negara ini termasuk Perak melalui pelbagai program pembangunan sosioekonomi, pendidikan dan kesejahteraan komuniti termasuk perumahan.
Bantuan itu selaras dengan flagship ke-18 pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Santuni Orang Asli dengan antara penerajunya ialah Jakoa hasil cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan dan kondusif. – UTUSAN
The post Ayah enam anak lega dapat rumah lebih selesa appeared first on Utusan Malaysia.
