

PETALING JAYA: Jumlah kutipan dana bagi proses penghantaran pulang jenazah rakyat Malaysia, Allahyarham Ahmad Shah, 26, yang maut ditikam di Korea Selatan kini berjumlah RM80,000.
Menurut adik Allahyarham, Ain Sephia Fabian, 25, jumlah itu telah melebihi anggaran kos sebelum ini yang dianggarkan sekitar RM50,000 hingga RM70,000.
Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar masih belum dimuktamadkan kerana masih menunggu pengesahan daripada pihak hospital.
“Setakat ini jumlah sumbangan yang diterima sudah mencecah kira-kira RM80,000. Bagi pihak keluarga saya nak ucap terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberikan sumbangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, ahli keluarga Allahyarham melancarkan tabung sumbangan bagi membantu menampung kos pengurusan jenazah di Korea Selatan termasuk kos termasuk urusan hospital, dokumentasi dan pengangkutan serta penghantaran pulang ke Malaysia
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Shah maut dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa telah menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan. – UTUSAN
The post Kutipan dana penghantaran pulang jenazah rakyat Malaysia lepasi sasaran appeared first on Utusan Malaysia.
