Auto Added by WPeMatico

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 225 tong gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan tanpa permit serta dua buah lori dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini dan Tanjung Malim semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kesemua sitaan yang dilakukan menerusi Ops Gasak setelah pihaknya menjalankan risikan dan pemantauan selama seminggu tersebut dianggarkan bernilai RM466,895.65.
Beliau berkata, bagi serbuan pertama iaitu di sebuah premis di Tanjung Malim, ia yang dilakukan pada pukul 11.30 pagi dilaksanakan sepasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Tapah dan mendapati premis itu dijadikan stor penyimpanan LPG.
“Pemeriksaan turut mendapati premis ini tidak memiliki sebarang kelulusan sah menyimpan barang kawalan. Seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan kedua pada pukul 1 petang pula, sepasukan penguat kuasa KPDN Ipoh menyerbu sebuah kilang di Zarib Industrial Park di sini.
Kamalludin berkata, pihaknya mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti pemprosesan makanan dengan menggunakan LPG.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati premis ini tidak mempunyai sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan. Pemeriksaan lanjut turut mengesan sebuah lori pembekal sedang memindahkan LPG ke tangki milik premis,” katanya.
Beliau berkata, seorang wanita tempatan berumur 28 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Berikutan kedua-dua tindakan ini, KPDN Perak telah menyita sebanyak 14 unit tong LPG berkapasiti 50 kilogram (kg), 171 unit tong LPG berkapasiti 14kg, 40 unit tong LPG berkapasiti 12kg dan dua buah lori dengan nilai sitaan keseluruhan yang dianggarkan RM466,895.65.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 225 tong gas LPG dirampas KPDN di Ipoh, Tanjung Malim appeared first on Kosmo Digital.