Auto Added by WPeMatico

MUAR – Rakan kepada pempengaruh permotoran yang dilaporkan ‘hilang’ melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kurang cerdik Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38.
Muhammad Syahmi Mansur, 30, berkata, dia mendapat tahu rakannya yang juga pempengaruh bersama adiknya mereka-reka cerita lemas sebaliknya bersubahat melarikan diri ke negara jiran.
Berita kejadian sebenar diterima Muhammad Syahmi beberapa jam selepas polis mengeluarkan kenyataan adik lelaki kepada pempengaruh membuat laporan palsu berhubung kehilangannya di Sungai Tui, Bukit Kepong, di sini sejak Isnin lalu.
Menurut Muhammad Syahmi, sebaik maklumkan perkara itu, dia bersama rakan lain kecewa kerana usaha dilakukan dengan ikhlas akhirnya dibalas dengan tindakan yang tidak pernah dijangka sama sekali.
“Mana saya nak letak muka? Semua dah kenal saya, nak pergi kerja pun takut. Saya bantu dengan ikhlas sampai ambil cuti semata-mata nak pergi mencarinya di sana (Muar).
“Semua rakan yang bantu mencarinya rasa kecewa. Tak sangka dia buat macam pada kami dan saya pun tak tahu apa motif dia. Orang dah kenal saya kerana berenang di sungai itu. Saya malu nak keluar rumah, sampai tahap ini sekali saya dipermainkan,”katanya ketika dihubungi di sini.
Muhammad Syahmi berkata, dia dan ahli keluarga sepatutnya mahu berjumpa pengamal perubatan di Segamat bagi sebagai ikhtiar terakhir itu mengesan keberadaan pempengaruh itu selepas operasi tidak memberi petunjuk.
“Kami sepatutnya nak ke kawasan kejadian nak cuba carilah mana tahu ada terjumpa atau apa-apalah. Tapi, bila dapat tahu perkara ini, mana saya nak letak muka dengan keluarga saya. Lagipun, keluarga saya pun ada buat solat hajat dengan harapan dia ditemukan segera, rupa-rupanya ada sesuatu yang kami langsung tak jangka berlaku.
“Kalau dia ada masalah sekalipun, biarlah kita bantu, kata ramai kawan. Masalah tu mungkin kita boleh duduk semeja berbincang macam mana sekali pun bukan dengan cara macam ini,” katanya.
Katanya lagi, adik lelaki yang disyaki bersubahat tidak memberitahu kejadian sebenar sepanjang operasi mencari dan menyelamat.
“Kami datang dari serata tempat lebih 20 orang, tapi adik dia tak bagi apa-apa hint (petunjuk). Inilah yang buat kami marah dan kecewa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kecewa…siang malam beria cari, ‘last-last’ kena tipu’ – Rakan Ija appeared first on Kosmo Digital.