Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Tema ‘Malaysia Madani, Rakyat Disatuni’ dipilih sebagai tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, logo Malaysia Madani yang diperkenalkan ini juga akan terus dikekalkan hingga 2027 sebagai simbol perpaduan nasional yang konsisten dan dikenali rakyat.
“Tujuan tema ini dipilih bagi menggambarkan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diperjuangkan,” katanya dalam satu sidang akhbar mingguan dan pengumuman logo serta tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Tambahnya, pelbagai program telah disusun bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat melibatkan pelbagai peringkat pelaksanaan dari nasional hingga ke akar umbi masyarakat.
“Sempena sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2025 ini, beberapa acara utama telah dianjurkan untuk meningkatkan semangat jiwa merdeka dalam kalangan masyarakat di seluruh Malaysia.
“Antaranya termasuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang akan berlangsung pada 27 Julai di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor,” katanya.
Dalam pada itu, Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya, manakala Sambutan Hari Malaysia akan berlangsung di Pulau Pinang mengikut sistem penggiliran antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Amalan pemilihan lokasi ini penting bagi menyemai rasa kebersamaan dan semangat perpaduan antara seluruh negeri dan wilayah di Malaysia,” katanya. -KOSMO! ONLINE.
The post Malaysia Madani, Rakyat Disatuni’ tema Hari Kebangsaan appeared first on Kosmo Digital.