Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA KRAI – Kegiatan sindiket yang melombong emas secara haram di Kampung Biak, Dabong di sini tumpas selepas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggempur kawasan tersebut pada Jumaat lalu.
Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 3 petang menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu turut menahan lima lelaki yang sedang melombong emas di kawasan tepi sungai.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, kelima-lima lelaki yang berusia 24 hingga 37 tahun itu cuba melarikan diri semasa serbuan dijalankan, namun berjaya ditahan.
Menurutnya, PGA turut merampas tiga buah jengkaut, sebuah mesin pam air, mesin palong dan beberapa karpet yang dianggarkan bernilai RM 1.54 juta.
“Kesemua peralatan tersebut digunakan untuk melombong emas secara haram di kawasan tersebut,” katanya.
Ijid Landu memberitahu, kes tersebut diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 137(1)(b) Akta Enakmen Mineral 2001.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan mengeluarkan lesen kepada 20 buah syarikat untuk melombong emas secara sah di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, daripada jumlah itu, empat syarikat sahaja yang aktif melakukan kerja-kerja melombong emas di beberapa lokasi di negeri ini.
Menurutnya, empat syarikat itu ialah CNMC dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Yayasan Kraftangan Malaysia, Warisan Tiara dan PKINK melalui Syarikat Prima Warisan Venture.
“Sebanyak 19 daripada 20 syarikat itu terdiri daripada syarikat berskala kecil seperti Yayasan Kraftangan Malaysia, Warisan Tiara dan PKINK melalui Syarikat Prima Warisan Venture.
“Hanya satu syarikat yang berskala besar iaitu CNMC kerana mereka berkemampuan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kompleks Kota Darulnaim dekat Kota Bharu kelmarin. – KOSMO! ONLINE
The post Lima lelaki dicekup, lombong emas haram diserbu appeared first on Kosmo Digital.