Auto Added by WPeMatico

![]()
BERBAKI kurang dua bulan sebelum memasuki susur tahun baharu, kompas gerakan muzik tanah air terus berputar menuju arah mengheret para pemujanya ke ruang emosi dan melodi bersama tiga nama besar dunia alternatif dan pop moden, For Revenge, Insomniacks dan Midnight Fusic.
Bersatu atas satu pentas dalam konsert epik Malam Simfoni Luka, malam yang mampu menenggelamkan keasyikan pengikut muzik aliran generasi milenial tersebut dijadualkan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 26 Januari 2026.
Konsert berkenaan menjanjikan sebuah pengalaman sonik yang menyatukan rasa duka, cinta, dan harapan melalui alunan muzik dan lirik yang mencerminkan perjalanan jiwa generasi muda masa kini.
Dengan reputasi For Revenge sebagai band post-hardcore yang terkenal dengan persembahan bertenaga dan lirik penuh makna, digandingkan dengan pesona pop moden Insomniacks serta nuansa dreamy alternatif Midnight Fusic, Malam Simfoni Luka dijangka menjadi malam yang menggetarkan hati setiap pencinta muzik tempatan dan serantau.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tapi satu pertemuan emosi antara artis dan peminat. Ia tentang luka, tentang bangkit, dan tentang bagaimana muzik menjadi terapi, menandakan konsep mendalam di sebalik pementasan ini,” ujar Iqie mewakili Insomniacks.
Selain persembahan utama daripada tiga kumpulan ini, sebuah konsert pastinya dimeriahkan pencahayaan sinematik, susunan muzik secara langsung yang diolah semula secara eksklusif, serta visual khas yang akan membawa penonton menyelami setiap emosi yang terkandung dalam lirik lagu persembahan mereka.
Buat peminat, tiket-tiket Malam Sinfoni Luka dibuka untuk jualan bermula hari ini (14 November) pukul 3 petang melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my. – KOSMO! ONLINE
The post Pertembungan simfoni For Revenge, Insomniacks, Midnight Fusic appeared first on Kosmo Digital.