Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Aktiviti perniagaan makanan sejuk beku tidak sah berjaya dibongkar dalam satu operasi bersepadu di tiga premis sekitar Johor Bahru, Johor semalam, dengan rampasan pelbagai jenis karkas dan daging bernilai lebih RM168,000.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan dan Siasatan Khas, Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Veterinar, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Menurutnya, serbuan ke atas tiga premis tersebut membawa kepada penahanan sembilan lelaki.
“Hasil operasi, pelbagai barangan sejuk beku dirampas termasuk 2,630.64 kilogram (kg) karkas babi, 148.92 kg daging itik, 35 kg daging lembu serta 3,888 kg daging ayam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM168,758.46 dan antara kesalahan dikesan ialah memiliki serta mengimport karkas babi dari negara yang tidak dibenarkan, termasuk bekalan dari Sepanyol mekipun telah diharamkan sejak 1 Disember lalu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Binatang 1953,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap premis terlibat.
Mohd. Zaki menegaskan, pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan makanan sejuk beku tidak sah. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket makanan sejuk beku tidak sah diserbu, 9 lelaki ditahan appeared first on Kosmo Digital.
