Auto Added by WPeMatico

TELUK INTAN – Jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini mula dibawa keluar meninggalkan Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) bermula pukul 10 malam tadi.
Jenazah yang pertama dibawa keluar setelah proses bedah siasat selesai dijalankan ialah Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, diikuti Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38.
Kesemua jenazah anggota FRU beragama Islam akan dibawa ke Surau Ar-Rahman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini untuk disolatkan sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi istiadat penghormatan terakhir.
Mangsa yang terkorban dalam kejadian hari ini ialah Sarjan S. Perumal, 44, Sarjan Mohd Roslan Abd. Rahim (46), Koperal Mohd Pozli Jaudin (41), Koperal Nurit Pandak (34) dan Koperal Amiruddin Zabri yang berumur 38 tahun.
Selain itu, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38 tahun, Koperal Muhamad Akmal Muhamad (35), Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif (33) dan Konstabel Akmal Wafi Annuar yang berusia 28 tahun.
Jenazah sembilan anggota FRU itu akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing iaitu di Masjid Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulim; Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang dan Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di Ipoh serta Kampung Sungai Itik dekat Gopeng.
Tiga lagi anggota akan dikebumikan di Kampung Pantai Besar dekat Batu Kurau; Masjid Simpang, Taiping dan Kampung Parit Teluk Pial, Kuala Kurau.
Sementara itu, jasad mendiang Perumal akan dibawa ke Krematorium Buntong manakala Nurit Pandak dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Terang, Kampar. – KOSMO! ONLINE
The post Jenazah anggota FRU dibawa ke Surau Ar-Rahman IPD Hilir Perak appeared first on Kosmo Digital.