Auto Added by WPeMatico

![]()
JASIN – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menolak surat peletakan jawatan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri yang dikemukakan pada Januari lalu.
Menurut Ab. Rauf, keputusan itu dibuat bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri terus terpelihara.
“Beliau telah mengemukakan surat perletakan jawatan sejurus selepas membuat pengumuman tersebut.
“Tetapi saya membuat keputusan untuk menolak perletakan jawatan itu supaya beliau dapat meneruskan tugas sebagai Exco Kerajaan Negeri,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Empangan Jus, di sini, hari ini.
Tambahnya, keputusan untuk menerima atau menolak perletakan jawatan tersebut adalah di bawah kuasa Ketua Menteri.
“Jadi, untuk menerima atau menolak adalah hak Ketua Menteri. Saya dah cakap dengan Ketua Menteri dan Ketua Menteri kata tolak,” selorohnya.
Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan itu ketika Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu.
Bagaimanapun, beliau kekal memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Keputusan tersebut dibuat susulan desakan pemimpin Democratic Action Party (DAP) berhubung kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini, Ab. Rauf dilaporkan berkata, beliau tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa berhubung permohonan peletakan jawatan Dr. Muhamad Akmal kerana kerajaan negeri perlu merujuk serta berbincang terlebih dahulu dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
The post Ab. Rauf tolak surat peletakan jawatan Dr. Muhamad Akmal appeared first on Kosmo Digital.
