Auto Added by WPeMatico

![]()
NAGOYA – Dominasi China dalam acara terjun Sukan Asia terus sukar digugat apabila kuasa besar itu mengekalkan rekod luar biasa memenangi semua pingat emas yang dipertandingkan sejak membuat penampilan sulung 52 tahun lalu.
Kejayaan Chen Yiwen dan Lian Junjie dalam dua acara terakhir di Aichi-Nagoya 2026 melengkapkan sapu bersih China buat kali ke-14 berturut-turut, sekali gus memastikan rekod sempurna yang bermula sejak edisi 1974 terus bertahan.
Lebih mengagumkan, China tidak pernah melepaskan walau satu pun pingat emas acara terjun sepanjang penyertaan mereka di Sukan Asia, sekali gus membuktikan penguasaan berterusan negara itu dalam tempoh lebih lima dekad.
“Wanita juga mempunyai kemampuan yang sama seperti lelaki. Kami sentiasa mencabar diri untuk melakukan terjunan dengan tahap kesukaran lebih tinggi.
“Kami juga tidak berlatih kurang daripada atlet lelaki,” kata Yiwen yang merupakan pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik Paris.
Sapu bersih dalam acara terjun turut membantu China terus meninggalkan pencabar lain dalam carta pingat apabila mengumpul 150 emas ketika temasya berbaki empat hari, jauh mengatasi tuan rumah, Jepun dengan 50 emas dan Korea Selatan, 24 emas.
Dalam perkembangan lain, penganjuran temasya kali ini turut berdepan beberapa rungutan termasuk masalah kekurangan katil dan pengangkutan melibatkan sebahagian daripada lebih 17,000 atlet serta pegawai yang berada di Jepun.
Datuk Bandar Nagoya yang juga pemangku pengerusi jawatankuasa penganjur tempatan, Ichiro Hirosawa tampil memohon maaf kepada atlet dan pihak terjejas susulan beberapa masalah yang timbul sepanjang temasya berlangsung.
“Kami perlu memohon maaf kepada atlet dan pihak lain yang terjejas akibat kesulitan ini. Kami juga perlu benar-benar bermuhasabah terhadap kelemahan pengendalian yang berlaku,” katanya. – AGENSI
The post Sukan Asia: Kolam terjun kekal milik China appeared first on Kosmo Online.
